Sunday, April 15, 2012

Kisah dari Al-Quran: Doa Nabi Zakaria dan Imran untuk mendapat anak soleh

Kisah Imran, Maryam, Nabi Zakaria, Yahya, dan Isa ini diceritakan dalam surah Al-Imran, ayat 33-55.

Maryam dilahirkan dalam keluarga Imran. Sebelum kelahirannya, ibunya telah berdoa (seperti mana yang dicatatkan dalam ayat 35):

(Ingatlah) ketika Isteri Imran berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepadamu, apa yang ada dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi (kepada-Mu), maka terimalah (nazar itu) dariku. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Ketika bernazar seperti itu, Imran dan isterinya menyangka mereka akan mendapat anak lelaki. Namun, yang lahir adalah anak perempuan yang diberi nama Maryam.

Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Wahai Tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan." Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan. Dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberi namanya Maryam, dan aku mohon perlindungan-Mu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitan yang terkutuk." - Al-Imran, ayat 36.


Seperti mana yang telah dinazarkan (agar beribadat kepada Allah), Maryam kemudian diletakkan di bawah jagaan Zakaria (Nabi Zakaria). Beliau mempunyai bilik ibadah khusus di Baitul Maqdis. Setiap kali Nabi Zakaria melawatnya, pasti ada hidangan di sisinya. Pastinya bukan hidangan biasa. Nabi Zakaria bertanya, "Wahai Maryam, dari mana datangnya hidangan ini?" Jawab Maryam, "Itu dari Allah." Allah Maha Pemberi kepada siapa yang dia kehendaki.

Nabi Zakaria kemudian menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Pemberi,

"Wahai Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa". - Al-Imran, ayat 38.


Tidak lama kemudian, datanglah Jibril membawa berita kehamilan isterinya (mengandungkan nabi Yahya yang menjadi sekutu Nabi Isa kemudiannya). Ketika itu Nabi Zakaria sudah berusia 93 tahun. Isterinya pula mandul. 2 faktor ini menyebabkan Nabi Zakaria sukar mempercayai khabar dari Jibril. Lalu baginda meminta bukti dari Tuhan jika benar isterinya yang mandul itu sedang hamil.

Allah berfirman, "Tanda bagimu adalah engkau tidak berbicara dengan manusia selama 3 hari, kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama Tuhanmu banyak-banyak, dan bertasbihlah (memujiNya)  pada waktu petang dan pagi." - Al-Imran, Ayat 41.


Dalam ayat seterusnya, diceritakan kelahiran Isa Al-Masih dari ibunya Maryam yang suci tanpa seorang bapa. Kisah kelahiran paling unik di dunia.

Nabi Isa terpilih dari keturunan yang mulia, dari datuknya Imran yang soleh, kemudian ibunya Maryam perempuan yang taat beribadat. Nabi Isa dikurniakan beberapa mukjizat.

Antara yang disebutkan dalam surah ini (ayat 49):
1. Berbicara ketika masih dalam buaian. (Mempertahankan ibunya Maryam dari terus difitnah Bani Israel kerana melahirkan bayi tanpa bapa).
2. Menghidupkan burung dari tanah.
3. Menyembuhkan orang buta sejak lahir.
4. Menyembuhkan penyakit kusta.
5. Menghidupkan orang mati.
6. Mengetahui apa yang dimakan dan makanan yang disimpan oleh seseorang.
7. Memahami kitab Taurat (diturunkan kepada Nabi Musa).
8. Diturunkan kitab Injil kepadanya.
9. Roh dan jasad baginda diangkat ke langit dan akan diturunkan kembali pada akhir zaman.

Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa bagi Allah, seperti (penciptaan) Adam. Dia menciptakannya dari tanah, kemudian Dia berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu. -Al-Imran, ayat 59.

Pengajaran:
1. Ibu bapa perlu berdoa agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.
2. Ibu bapa perlu mendoakan supaya anak-anak ter[elihara dari gangguan syaitan.
3. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan kuasa Allah melewati batas logik pemikiran manusia.
4. Doa mengubah nasib, walaupun mandul, isteri Nabi Zakaria tetap mampu hamil dengan izin Allah.
5. Nazar wajib ditunaikan.
6. Perempuan perlu memelihara kesucian diri.

Saturday, April 14, 2012

Tips mendidik anak yang nakal dengan Alhamdulillah

Kawan saya berkongsi tips untuk mengubah perangai anak yang nakal kepada lebih baik. Ianya dari pengalaman ibu saudaranya yang mempunyai anak yang ramai, dan kesemua anaknya merupakan anak-anak yang soleh - baik pekertinya, dan baik pencapaiannya. Orang kata, semua anaknya menjadi. Anak-anaknya ketika kecil dulu nakal juga (anak kecil mana yang tak lasak kalau dah sihatkan?).

Kata makcik, tiap kali anaknya buat sesuatu yang menyirapkan darah, dia akan ucap "Alhamdulillah". Tak ada marah-marah, tengking dan herdik mengata yang bukan-bukan pada anaknya. Setiap kata ibu itu kan doa? Sebagai ibu, kawan saya agak skeptikal dengan pendekatan seperti ini. "Eiii, takkan la anak dah nakal pun tak tegur, tak pukul? Takkan nak biar je anak terus buat salah?". Itu yang terdetik di hatinya. Namun, kebelakangan ini, dia mencuba taktik yang sama. Tiap kali anaknya buat suatu kesalahan, dia menahan diri dari marah, sambil mengucapkan Alhamdulillah. Alhamdulillah, dengan izin Allah, perubahan ketara pada sikap anaknya. Sikapnya lebih baik, lebih tenang ibu yang melihatnya.

Pada tiap kali dia mengucapkan Alhamdulillah, si anak akan bertanya, "Kenapa mama ucap Alhamdulillah?". Dia hairan sendiri kerana dia tahu Alhamdulillah adalah kalimah kesyukuran. Takkan mama bersyukur bila dia buat salah? Takkan mama tidak memarahinya sebaliknya bersyukur pula? Ya, inilah masanya untuk menegur anak! Apabila anak itu tahu dia salah, patut ditegur, dia akan terima teguran dengan hati terbuka tanpa terluka dengan perkataan negatif. Jadi, peranan mama pula nak positifkan setiap perlakuan anak. "Mama syukur sebab anak mama tak buat lebih teruk dari itu. Anak mama kan anak yang baik. Dengar kata. Lagipun, kalau buat macam tu, anak mama pun tahu ianya salah. Allah tak suka, mama tak suka, papa tak suka. Tapi tadi tak sengajakan? Jadi mama maafkan :)."

Saya tahu bukan mudah mengucapkan Alhamdulillah, bila hati dah terbakar dengan perangai anak yang tak terjangka kan? Tapi, sedikit demi sedikit mempositifkan diri sendiri untuk melihat semuanya dari sudut yang positif, Insyaallah besar ganjarannya.

Tips ini selari dengan tips yang diberikan oleh Prof Muhaya. Kata beliau, penuhkan akaun emosi anak-anak. Sayangi dia, kemudian barulah boleh tegur. Jangan takut walau orang kata, nanti anak pijak kepala. Sedangkan kajian yang sebenarnya menunjukkan, anak-anak yang nakal adalah anak-anak yang miskin dari segi emosinya, kurang kasih sayang, kurang perhatian. 

Selamat mencuba! Selamat mendidik anak-anak yang soleh dan solehah.