Sunday, November 24, 2013

Ammar: Dakwah Selepas Kematian

Fenomena baru melanda sejak 2 November lalu, fenomena Ammar. Selepas 20 tahun kewujudannya, pada hari pemergiannya, dia menjadi satu fenomena.
 
Kisahnya mendapat perhatian ramai. Dari remaja, ibu bapa, orang kecil dan orang besar. MasyaAllah. Satu kisah kehidupan dan kematian yang sangat dicemburui. Fenomena Ammar menghentak hati banyak pihak. Menyedarkan remaja seusianya berfikir kembali tujuan hidup. Juga memukul perasaan remaja yang lebih tua darinya menghisab kembali kehidupan yang telah berlalu. Masing-masing merenung ke dalam diri. Bagaimanakah pengakhiran kehidupan di dunia ini nanti?
 
Ammar berdakwah melalui akhlak. Dakwah yang terbaik, dalam senyap, tanpa paksaan tapi mampu mengetuk hati-hati yang degil. Sepertimana kisah dakwah Rasulullah, menyantuni wanita Yahudi yang sering mengutuk Muhammad yang akhirnya menjadi asbab Islamnya wanita itu selepas kewafatan baginda. Dan...benarlah, kematian itu juga merupakan motivasi terbaik.
 
Beberapa perkara yang dapat saya lihat dari kisah Syahid Ammar (yang berjaya mendorong saya kembali mengetuk papan kekunci dan menyudahkan entri ini):
 
  • mahu menjadi seorang Ammar - asasnya ada dalam keluarga. Saya percaya Ammar diberi didikan awal yang baik berteraskan agama oleh ibu dan ayahnya. Tujuan hidupnya jelas. Perancangannya juga rapi. Rapat dengan ahli keluarga. Punya ayah yang baik untuk menjadi idolanya. Dekat dengan masyarakat.
  • mahu anak seperti Ammar - perlukan ibu seperti puan Nur Azlina dan ayah seperti Ahmad Azzam. Semoga lebih ramai yang sanggup menjadi Azzam (rupanya Azzam memang bukan sekadar wujud dalam Ketika Cinta Bertasbih), menjadi sekuat Puan Nur Azlina dan melahirkan lebih ramai Ammar.
  • Masyarakat bukan sekadar memerlukan professional dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, bidang yang nampak gah, tetapi juga dalam bidang sains social yang membangunkan masyarakat. Minat Ammar dalam kajian sejarah Uthmaniyyah mungkin membantu membuka minda pelajar (dan IBU BAPA) untuk melihat peluang dan keperluan dalam bidang ini. Teringat saya pada tulisan dan harapan UZAR yang turut dinukilkan dalam buku beliau, Jangan Berhenti Berlari...yang menyeru ibu bapa memberi ruang anak cemerlang menjadi pakar syariah, pakar ekonomi, pendek kata jadi "ustaz".
  • Sentiasalah berdoa dengan doa yang baik penuh harap dan takut pada Allah. Mintalah perkara yang besar dari Allah. Moga dijadikan saat terbaik sepanjang kehidupan kita adalah di penghujungya (husnul khatimah). Moga direzekikan juga untuk syahid di jalan Nya.
 
Pastinya, fenomena Ammar ini merupakan fenomena yang amat disenangi dan menjadi pengubat kepada fenomena-fenomena AF, Bintang Kecil, Lawak (yang tak lawak).  Fenomena ini menyedarkan kita sebenarnya masih ramai orang baik, dan amat ramai yang mahu jadi baik.
 
Semoga dakwah ini menjadi pahala berterusan buat adinda Ahmad Ammar. Perginya seorang Ammar, menghidupkan beribu lagi mujahid untuk meneruskan perjuangan. Al-Fatihah.