Monday, June 6, 2016

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah. Masih bernafas hingga saat ini. Menikmati Ramadhan sekali lagi.
Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi. Pasti mereka teringin sekali untuk berada di sini, menjalani Ramadhan sesungguh hati.

Moga peluang yang sedang digenggam tidak disiakan. Insyaallah.
Peluang bertaubat, bermaafan, melupakan dendam, melepaskan beban hati.
Peluang menghitung nikmat untuk sentiasa syukur, mendidik hati untuk sabar, berdoa untuk semua harapan hidup (juga harapan setelah mati). Moga bertambah ilmu juga amal.
Belajar untuk faham Al-Quran. Keajaiban terbesar yang turun pada bulan Ramadhan. Amin.


Tuesday, May 3, 2016

Lupa Syukur

Jerebu
Rindunya nak tatap wajah langit.
Rindunya nak hirup udara segar.
Rindunya nak menikmati pemandangan luar tingkap.
 
 
Panas
Rindunya nak lihat titisan hujan
Rindunya nak lihat Tanah yang basah
Rindunya pada udara dingin
 
 
Semuanya diambil tak endah ketika ada
Didamba setelah hilang
Disyukuri hanya setelah ia kembali
Kerana lupa nak bersyukur dengan apa yang ada
kerana nikmatnya hanya terasa setelah ia pergi
 
 
Selalu kan lupa syukur?


Monday, May 2, 2016

Love911

 
 
 
Apa pun permulaan, yang penting adalah penutupnya.
Apa pun yang ada pada kita, bukan kita pemiliknya.
Di setiap peristiwa dalam kitaran hidup, ada pengajarannya.
Suluhlah ke dalam diri, ke dalam hati.
Perbaiki dan jadi yang lebih baik dari diri yang semalam.
 
Hidup, akhirnya adalah mati.
Setelah mati, inginnya  diam di taman syurga.
Sudah siapkah bekalan nya?
 
 
~Learn to accept, forgive and forget. Learn to love. Learn to give.~
 
 
 


Wednesday, April 20, 2016

Je Pense A Toi


je pense a toi = I think a toi? -- google translate.

Sesuatu hilang makna bila tidak difahami.
Takde perasaan.
Sama juga bila baca Al-Quran.
Baca Muqaddam terasa senang dan ringan.
Walhal...dalam juzuk terakhir tu..banyak sekali ancaman Tuhan.
Semuanya cerita huru hara akhir zaman.
Gambaran dalam surah-surah terakhir sebenarnya ngeri lagi menakutkan.
Tentang bintang berguguran, tentang bukit dan gunung hancur jadi debu, tentang kemusnahan bumi yang maha dahsyat.
Tapi, hati tak mungkin pernah merasa gerun jika baca sekadar baca, jauh dari tahu apatah lagi faham.

Allahuakbar.
Moga diberi peluang, ruang, kekuatan dan kesabaran untuk memahami Al-Quran.






Tuesday, April 19, 2016

Mencari teman ke syurga

Assalamualaikum..
Sekian lama tanpa bicara, harini gatal pula tangan mahu mencoret sesuatu.
Sekadar catatan untuk peringatan di kemudian hari. Ingatan untuk diri sendiri.

Forwarded msg di whatsapp yang buat aku berfikir.

Diperpanjangkan daripada group lain kerana ia perkara baik yang sangat elok dikongsikan👇

CARILAH AKU DI NERAKA, DAN TOLONG BAWAKU KE SYURGA..

Menziarahi seorang teman yang sedang tenat sakitnya, dia menggenggam erat tangan saya, lalu menarik ke mukanya, mahu membisikkan sesuatu..

Dalam airmata bergenang dan lafaz yang tersangkut-sangkut dia berkata," jika hang tidak nampak aku di syurga, btanyalah Allah di mana aku, tolonglah aku ketika itu..."

Dia langsung teresak menangis, lalu saya memeluknya dan meletakkan muka saya di bahunya. Saya berbisik," Insyaallah, insyaallah, aku juga mohon hang buat begitu jika hang juga tidak nampak aku di syurga..."

Kami menangis bersama, entah berapa lama...

Bila saya meninggalkan wad hospital, saya terkenang pesanannya...

Sebenarnya pesanan itu pernah dipesan oleh seorang ulamak besar, Ibnu Jauzi, yg berkata kpd sahabatnya sambil menangis :

" Jika kamu tidak menemui aku di syurga bersama kamu, maka tolonglah tanya kepada Allah tentang aku ; Wahai Tuhan kami,si fulan sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang Engkau, maka masukkanlah dia bersama kami di syurga."

Ibnu Jauzi berpesan begini bersandar kepada sebuah hadis :

"Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yg selalu bersama mereka dahulu di dunia, maka mereka pun bertanya kepada Allah ; Ya Rabb! kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di dunia bersolat bersama kami, berpuasa bersama kami dan berjuang bersama kami..."

Maka Allah berfirman, " Pergilah ke neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman, walau hanya sebesar zarrah".
(Ibnu Mubarak dlm kitab Az Zuhd)

Maka wahai sahabat2ku,

Di dalam bersahabat, pilih lah mereka yg boleh membantu kita bukan setakat dunia, tetapi hingga akhirat..

Carilah sahabat2 yg senantiasa berbuat ibadat,  bersolat jemaah, berpuasa dan sentiasa berpesan ke arah keimanan, serta berjuang untuk mnegakkan agama.

Carilah teman yg mengajak ke majlis ilmu, mengajak berbuat kebaikan, bermuafakat untuk kerja kebajikan, serta selalu berpesan dgn kebenaran.

Teman yg dicari kerana urusan niaga, pekerjaan, teman tengok bola, teman memancing, teman bershopping, teman fb utk bercerita hal politik, teman whatsapp utk bersembang hal dunia, akan berpisah pada garis mati dan masing2 hanya akan membawa diri sendiri.

Tetapi teman yg bertakwa, akan mencari kita untuk bersama ke syurga....

Semaklah diri, apakah ada teman yg se begini dalam kehidupan kita, atau yg ada mungkin lebih teruk dari kita...

Ayuh bertindak sekarang, kurangkan masa dgn teman yg hanya condong pada garis dunia, carilah teman yg boleh membawa kita bersama ke syurga, kerana kita tidak boleh mengharap ibadat kita shj utk menjengah syurga Allah..

Pelbagaikanlah usaha, moga satu darinya akan tersangkut, membawa kita ke pintu syurga....

Al-Hasan Al-Bashri berkata :

" Perbanyakkanlah sahabat-sahabat mukminmu, karena mereka memiliki syafaat pada hari kiamat”.

Pejamkan mata, berfikirlah,.. siapa agaknya antara sahabat2 kita yg akan mencari dan mengajak kita bersama2 ke syurga..

Jika tiada, mulakan hari ini mencari teman ke syurga sebagai suatu misi peribadi.

Agaknya kepada siapa anda boleh berpesan sebegini?

Wallahu a'lam

Sama ada rujukan nya benar mahu pun tidak, yang melintas di fikiran sekarang ialah:
1. Do I have a friend like this?
2. Am I being one to others?

Rasanya, tanggungjawab untuk menjawab soalan kedua lebih penting. Be the one and Insyaallah you'll get one.


Sunday, November 24, 2013

Ammar: Dakwah Selepas Kematian

Fenomena baru melanda sejak 2 November lalu, fenomena Ammar. Selepas 20 tahun kewujudannya, pada hari pemergiannya, dia menjadi satu fenomena.
 
Kisahnya mendapat perhatian ramai. Dari remaja, ibu bapa, orang kecil dan orang besar. MasyaAllah. Satu kisah kehidupan dan kematian yang sangat dicemburui. Fenomena Ammar menghentak hati banyak pihak. Menyedarkan remaja seusianya berfikir kembali tujuan hidup. Juga memukul perasaan remaja yang lebih tua darinya menghisab kembali kehidupan yang telah berlalu. Masing-masing merenung ke dalam diri. Bagaimanakah pengakhiran kehidupan di dunia ini nanti?
 
Ammar berdakwah melalui akhlak. Dakwah yang terbaik, dalam senyap, tanpa paksaan tapi mampu mengetuk hati-hati yang degil. Sepertimana kisah dakwah Rasulullah, menyantuni wanita Yahudi yang sering mengutuk Muhammad yang akhirnya menjadi asbab Islamnya wanita itu selepas kewafatan baginda. Dan...benarlah, kematian itu juga merupakan motivasi terbaik.
 
Beberapa perkara yang dapat saya lihat dari kisah Syahid Ammar (yang berjaya mendorong saya kembali mengetuk papan kekunci dan menyudahkan entri ini):
 
  • mahu menjadi seorang Ammar - asasnya ada dalam keluarga. Saya percaya Ammar diberi didikan awal yang baik berteraskan agama oleh ibu dan ayahnya. Tujuan hidupnya jelas. Perancangannya juga rapi. Rapat dengan ahli keluarga. Punya ayah yang baik untuk menjadi idolanya. Dekat dengan masyarakat.
  • mahu anak seperti Ammar - perlukan ibu seperti puan Nur Azlina dan ayah seperti Ahmad Azzam. Semoga lebih ramai yang sanggup menjadi Azzam (rupanya Azzam memang bukan sekadar wujud dalam Ketika Cinta Bertasbih), menjadi sekuat Puan Nur Azlina dan melahirkan lebih ramai Ammar.
  • Masyarakat bukan sekadar memerlukan professional dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, bidang yang nampak gah, tetapi juga dalam bidang sains social yang membangunkan masyarakat. Minat Ammar dalam kajian sejarah Uthmaniyyah mungkin membantu membuka minda pelajar (dan IBU BAPA) untuk melihat peluang dan keperluan dalam bidang ini. Teringat saya pada tulisan dan harapan UZAR yang turut dinukilkan dalam buku beliau, Jangan Berhenti Berlari...yang menyeru ibu bapa memberi ruang anak cemerlang menjadi pakar syariah, pakar ekonomi, pendek kata jadi "ustaz".
  • Sentiasalah berdoa dengan doa yang baik penuh harap dan takut pada Allah. Mintalah perkara yang besar dari Allah. Moga dijadikan saat terbaik sepanjang kehidupan kita adalah di penghujungya (husnul khatimah). Moga direzekikan juga untuk syahid di jalan Nya.
 
Pastinya, fenomena Ammar ini merupakan fenomena yang amat disenangi dan menjadi pengubat kepada fenomena-fenomena AF, Bintang Kecil, Lawak (yang tak lawak).  Fenomena ini menyedarkan kita sebenarnya masih ramai orang baik, dan amat ramai yang mahu jadi baik.
 
Semoga dakwah ini menjadi pahala berterusan buat adinda Ahmad Ammar. Perginya seorang Ammar, menghidupkan beribu lagi mujahid untuk meneruskan perjuangan. Al-Fatihah.
 
 
 
 
 

Wednesday, May 15, 2013

Jom fahami Al-Quran: Al-Qasas, ayat 1-3


Kisah Nabi Musa, antara kisah nabi yang paling banyak dinukilkan dalam Al-Quran. 
Kisah Nabi Musa  termuat dalam surah Al-Kahfi yang menceritakan perjalanan Nabi Musa menemani nabi Khaidir, yang diberikan ilham oleh Tuhan untuk bertindak atas sesuatu yang diluar pengetahuan manusia normal. 

Dalam surah ini pula, Allah menceritakan tentang penindasan terhadap kaum Israel (kaum nabi Musa) disebabkan ketakutan Firaun akan janji Nabi Ibrahim dahulu yang menyatakan bahawa Firaun bakal digulingkan oleh seorang nabi dari bani Israel. Semuanya bermula apabila isteri Nabi Ibrahim, Siti Sarah yang rupawan diganggu oleh Firaun berkali-kali. 
Walaupun Firaun tidak pernah percaya adanya Tuhan yang lebih berkuasa daripada dirinya yang boleh menghancurkannya, namun ugutan itu terus menghantui. Sehinggakan kesemua bayi lelaki bani Israel dibunuh hidup-hidup untuk menghalang terlaksananya janji Tuhan.

Kesemua kisah dari Al-Quran, diceritakan Allah dengan benar, untuk mereka yang percaya akan kebenaran dan mahu mengambil ibrah dari setiap peristiwa.

Wallahu'alam.

Friday, January 18, 2013

Petua Seri Wajah

Petua lama. Petua berkurun tahun dahulu untuk serikan wajah. Tak perlu guna tanah liat, tak perlu guna bunga-bungaan, tak perlu keluar duit pun.

Petua ringkas, mudah, praktikal, murah.

Ambil wudhuk.

Ramai tak amalkan (termasuk tukang ngomel), sebab tak terbiasa. Sebab tak dibiasakan. Sebab tak ditekankan. 



Wednesday, January 16, 2013

Apa salahnya join MLM - episod 2


MLM itu susah sebenarnya. Nak dapat duit banyak kena cari orang bawahan secara berpasangan. Umpama kaki. Perlu dipasang dua-dua, jika tidak...alamatnya tempanglah pengurusan.

Tapi...masih ada yang berjaya jadi jutawan. Tengok saja rumah banglo besar agam. Kereta berkilat mata belalang. Boleh masuk tv tunjuk ibu jari pulak tu! 

Mengikut hukum alam, walau sesusah mana pun sesuatu perkara, peluang berjaya masih ada. Buktinya? Dah ada orang yang berjaya melakukannya!

Jadi, pakat kecur air lah belaka. Diam-diam hati bertekad. Aku juga boleh berjaya. Aku juga boleh kaya. Aku juga akan ada duit juta-juta. Apa salahnya kumpul duit pinjam sana sini takat dua tiga ratus ribu saja. Nanti pulangannya berpuluh kali ganda. Rumah besar, kereta belalang, hidup senang lenang...angan-angan yang sungguh membahagiakan.


Tuesday, January 15, 2013

Apa salahnya join MLM - episod 1

Ramai orang dah terkena. Masuk MLM konon untung berjuta. Rupanya yang kaya cuma orang di atas sahaja. Orang di bawah umpama mengutip sisa. Paling malang, mengutip sisa simpanan yang ada untuk meneruskan hidup setelah semua harta dilabur untuk jadi lebih kaya. 

Natijahnya, HUKUM MLM jadi HARAM. Kerajaan dah haramkan MLM. Jabatan Agama juga HARAMKAN MLM. 

Tapi, masih ada yang degil nak jugak join MLM. Tapi, niat bukan nak jadi kaya. Itu yang peliknya. Apakah saja cari penyakit. Apakah duit yang ada terlalu melimpah hingga suka-suka melabur sambil tutup mata. Tak takut rugi ke?