Sunday, November 24, 2013

Ammar: Dakwah Selepas Kematian

Fenomena baru melanda sejak 2 November lalu, fenomena Ammar. Selepas 20 tahun kewujudannya, pada hari pemergiannya, dia menjadi satu fenomena.
 
Kisahnya mendapat perhatian ramai. Dari remaja, ibu bapa, orang kecil dan orang besar. MasyaAllah. Satu kisah kehidupan dan kematian yang sangat dicemburui. Fenomena Ammar menghentak hati banyak pihak. Menyedarkan remaja seusianya berfikir kembali tujuan hidup. Juga memukul perasaan remaja yang lebih tua darinya menghisab kembali kehidupan yang telah berlalu. Masing-masing merenung ke dalam diri. Bagaimanakah pengakhiran kehidupan di dunia ini nanti?
 
Ammar berdakwah melalui akhlak. Dakwah yang terbaik, dalam senyap, tanpa paksaan tapi mampu mengetuk hati-hati yang degil. Sepertimana kisah dakwah Rasulullah, menyantuni wanita Yahudi yang sering mengutuk Muhammad yang akhirnya menjadi asbab Islamnya wanita itu selepas kewafatan baginda. Dan...benarlah, kematian itu juga merupakan motivasi terbaik.
 
Beberapa perkara yang dapat saya lihat dari kisah Syahid Ammar (yang berjaya mendorong saya kembali mengetuk papan kekunci dan menyudahkan entri ini):
 
  • mahu menjadi seorang Ammar - asasnya ada dalam keluarga. Saya percaya Ammar diberi didikan awal yang baik berteraskan agama oleh ibu dan ayahnya. Tujuan hidupnya jelas. Perancangannya juga rapi. Rapat dengan ahli keluarga. Punya ayah yang baik untuk menjadi idolanya. Dekat dengan masyarakat.
  • mahu anak seperti Ammar - perlukan ibu seperti puan Nur Azlina dan ayah seperti Ahmad Azzam. Semoga lebih ramai yang sanggup menjadi Azzam (rupanya Azzam memang bukan sekadar wujud dalam Ketika Cinta Bertasbih), menjadi sekuat Puan Nur Azlina dan melahirkan lebih ramai Ammar.
  • Masyarakat bukan sekadar memerlukan professional dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, bidang yang nampak gah, tetapi juga dalam bidang sains social yang membangunkan masyarakat. Minat Ammar dalam kajian sejarah Uthmaniyyah mungkin membantu membuka minda pelajar (dan IBU BAPA) untuk melihat peluang dan keperluan dalam bidang ini. Teringat saya pada tulisan dan harapan UZAR yang turut dinukilkan dalam buku beliau, Jangan Berhenti Berlari...yang menyeru ibu bapa memberi ruang anak cemerlang menjadi pakar syariah, pakar ekonomi, pendek kata jadi "ustaz".
  • Sentiasalah berdoa dengan doa yang baik penuh harap dan takut pada Allah. Mintalah perkara yang besar dari Allah. Moga dijadikan saat terbaik sepanjang kehidupan kita adalah di penghujungya (husnul khatimah). Moga direzekikan juga untuk syahid di jalan Nya.
 
Pastinya, fenomena Ammar ini merupakan fenomena yang amat disenangi dan menjadi pengubat kepada fenomena-fenomena AF, Bintang Kecil, Lawak (yang tak lawak).  Fenomena ini menyedarkan kita sebenarnya masih ramai orang baik, dan amat ramai yang mahu jadi baik.
 
Semoga dakwah ini menjadi pahala berterusan buat adinda Ahmad Ammar. Perginya seorang Ammar, menghidupkan beribu lagi mujahid untuk meneruskan perjuangan. Al-Fatihah.
 
 
 
 
 

Wednesday, May 15, 2013

Jom fahami Al-Quran: Al-Qasas, ayat 1-3


Kisah Nabi Musa, antara kisah nabi yang paling banyak dinukilkan dalam Al-Quran. 
Kisah Nabi Musa  termuat dalam surah Al-Kahfi yang menceritakan perjalanan Nabi Musa menemani nabi Khaidir, yang diberikan ilham oleh Tuhan untuk bertindak atas sesuatu yang diluar pengetahuan manusia normal. 

Dalam surah ini pula, Allah menceritakan tentang penindasan terhadap kaum Israel (kaum nabi Musa) disebabkan ketakutan Firaun akan janji Nabi Ibrahim dahulu yang menyatakan bahawa Firaun bakal digulingkan oleh seorang nabi dari bani Israel. Semuanya bermula apabila isteri Nabi Ibrahim, Siti Sarah yang rupawan diganggu oleh Firaun berkali-kali. 
Walaupun Firaun tidak pernah percaya adanya Tuhan yang lebih berkuasa daripada dirinya yang boleh menghancurkannya, namun ugutan itu terus menghantui. Sehinggakan kesemua bayi lelaki bani Israel dibunuh hidup-hidup untuk menghalang terlaksananya janji Tuhan.

Kesemua kisah dari Al-Quran, diceritakan Allah dengan benar, untuk mereka yang percaya akan kebenaran dan mahu mengambil ibrah dari setiap peristiwa.

Wallahu'alam.

Friday, January 18, 2013

Petua Seri Wajah

Petua lama. Petua berkurun tahun dahulu untuk serikan wajah. Tak perlu guna tanah liat, tak perlu guna bunga-bungaan, tak perlu keluar duit pun.

Petua ringkas, mudah, praktikal, murah.

Ambil wudhuk.

Ramai tak amalkan (termasuk tukang ngomel), sebab tak terbiasa. Sebab tak dibiasakan. Sebab tak ditekankan. 



Wednesday, January 16, 2013

Apa salahnya join MLM - episod 2


MLM itu susah sebenarnya. Nak dapat duit banyak kena cari orang bawahan secara berpasangan. Umpama kaki. Perlu dipasang dua-dua, jika tidak...alamatnya tempanglah pengurusan.

Tapi...masih ada yang berjaya jadi jutawan. Tengok saja rumah banglo besar agam. Kereta berkilat mata belalang. Boleh masuk tv tunjuk ibu jari pulak tu! 

Mengikut hukum alam, walau sesusah mana pun sesuatu perkara, peluang berjaya masih ada. Buktinya? Dah ada orang yang berjaya melakukannya!

Jadi, pakat kecur air lah belaka. Diam-diam hati bertekad. Aku juga boleh berjaya. Aku juga boleh kaya. Aku juga akan ada duit juta-juta. Apa salahnya kumpul duit pinjam sana sini takat dua tiga ratus ribu saja. Nanti pulangannya berpuluh kali ganda. Rumah besar, kereta belalang, hidup senang lenang...angan-angan yang sungguh membahagiakan.


Tuesday, January 15, 2013

Apa salahnya join MLM - episod 1

Ramai orang dah terkena. Masuk MLM konon untung berjuta. Rupanya yang kaya cuma orang di atas sahaja. Orang di bawah umpama mengutip sisa. Paling malang, mengutip sisa simpanan yang ada untuk meneruskan hidup setelah semua harta dilabur untuk jadi lebih kaya. 

Natijahnya, HUKUM MLM jadi HARAM. Kerajaan dah haramkan MLM. Jabatan Agama juga HARAMKAN MLM. 

Tapi, masih ada yang degil nak jugak join MLM. Tapi, niat bukan nak jadi kaya. Itu yang peliknya. Apakah saja cari penyakit. Apakah duit yang ada terlalu melimpah hingga suka-suka melabur sambil tutup mata. Tak takut rugi ke?


Monday, January 14, 2013

Sakit datang tiba-tiba

Bismillahirrahmanirrahim...

Minggu lepas kecoh. Eksekutif operator yang paling diharapkan tiba-tiba memberitahu tidak dapat hadir. Mungkin untuk sebulan! Beliau baru menjalani pembedahan. Sakit tiba-tiba. Tak siapa yang jangka, sebelum ni nampak OK je. Sihat walafiat. Berkejar ke sana sini. Tolong orang tu, tolong orang ni.

Maka, kecohlah semua bijak pandai yang ada. Siapa nak tolong setelkan semua kerja yang ada? Pulak tu bertimbun-timbun. Inilah bahananya apabila kerja secara mengkhusus dan bergantung pada satu-satu pakar sahaja. 

Memang sakit itu tak dapat dijangka. Berjaga-jaga sementara masih punya SIHAT. Kerana...sejarah membuktikan, manusia sering LUPA. Malah seringkali tertipu. Sehingga diungkap oleh ahli ilmu, pemilik kunci gedung ilmu, Saidina Ali Karramallah...

"Sesungguhnya manusia sering tertipu dengan dua perkara. Waktu sihat dan waktu lapang."