Friday, December 17, 2010

Hadiah kahwin yang bermakna buat pengantin

Oh, semua bermakna je! Hari tu hadiah hari jadi yang bermakna, sekarang hadiah kahwin yang bermakna pula. Maklum saja, musim cuti sekolah yang panjang macam ni memang tak menang kaki nak berkunjung ke semua kenduri. Tiap minggu ada je jemputan. Dah dijemput makan dan meraikan pengantin, kena juga bawa buah tangan aka hadiah kahwin kan. Kadang-kadang naik pening memikirkan hadiah yang sesuai buat si pengantin.

Dulu-dulu, hadiah kahwin paling glemer adalah gelas! Samada setengah dozen atau sedozen. Jika dikumpul-kumpul, gelas hadiah kahwin boleh diguna untuk hidang air pada tetamu yang datang. Beribu-ribu lemon hadiah gelas :).

Zaman sekarang, tetamu mengambil inisiatif mengajukan pertanyaan pada pengantin, yang dijawab "tak kisah lah hadiah apa pun". Ini jawapan pengantin yang malu-malu kucing takut dikata tamak dan tak senonoh pula nak minta macam-macam. Kalaulah boleh, memang mahu juga ringankan mulut minta hadiah rumah banglo sebiji, lengkap dengan segala hiasan dalaman, juga orang gaji. Tapi, minta hadiah macam ni, buat perabih air liur je. Sape nak bagi?

Jadi, standard hadiah kahwin direndahkan sedikit. Ada yang bijak menyenaraikan "wedding wishlist" dan diwar-warkan kepada kawan-kawan. Barangan yang biasa tersenarai adalah barangan keperluan rumah - peti ais, seterika, oven, microwave, vakum, set kutleri, rice cooking, penapis air, dan segala macam lagi. Barang-barang pakai sampai rosak seperti ini memang amat sesuai dan berbaloi untuk dihadiahkan kepada yang baru nak memulakan hidup berdua sebagai suami isteri.

Melihatkan senarai barang-barang di atas, harganya boleh tahan ni jika kena keluar duit sorang-sorang. Lainlah kalau pakat ramai-ramai kumpul duit dan beli ikut wishlist pengantin. Jadi, alternatif yang bijak adalah bagi buku! Ada macam-macam buku yang sesuai untuk suami isteri. Buku tboleh diguna dan dirujuk sampai bila-bila. Bukan setakat buku panduan rumahtangga, tapi boleh juga beri buku panduan pengurusan kewangan, koleksi resepi ringkas dan lazat, buku panduan dekorasi rumah, motivasi pengurusan emosi, panduan keibubapaan dan sebagainya.

Ini hadiah yang saya pilih untuk pengantin esok.


Selamat Pengantin Baru Huda! Semoga berbahagia dan kekal dalam rahmatNya hingga ke syurga

Sunday, November 7, 2010

Jual sayur lebih untung dari jual emas

Sebelum hari raya, saya sempat menjenguk kedai emas. Berlakon konon-konon nak beli gelang. Padahal nak merasa gelang/rantai baru, sambil-sambil memantau harga. Maklumlah, harga emas bukan statik buat selamanya. Jadi, perlu juga ambil tahu harga semasa. Senang nak demand rantai 14 inci atau gelang seberat 50gram untuk hantaran nanti ;p, boleh melaram mengalahkan anak mami. Ok, harga sebelum raya adalah RM139 untuk segram emas 916. Kalau di Kelantan,harga yang dinyatakan di kedai-kedai emas adalah dalam 'rial berat'. Saya pun tak tau timbangan gram setara untuk satu rial berat ni. Harga di Kelantan adalah RM390 bagi serial berat. --- mungkin satu rial berat bersamaan 10g. --- Kalau ada yang ada info, boleh tolong bagitahu :).

Harga emas sekarang jauh jauh jauh lebih tinggi berbanding 10 tahun dulu. Rantai tangan yang dulu Cuma RM800 sudah bernilai hampir RM3000! Naik 300%. Kalau jual pasti untung. Untung mengikut jumlah wang diperoleh lah, padahal berat emas tetap sama, dan wang RM3000 yang dibelanjakan pun mungkin boleh dapat barang senilai dengan RM800 10 tahun dulu je --- inflasi kan. Jika rantai ini dijual di kedai emas, harga yang akan dibayar oleh kedai emas kurang 25% dari nilaian harga semasa. Walau ada untung, masih juga rugi, rugi 25%. Jika emas ini ditukar ganti/ trade-in, emas baru yang boleh diambil dari kedai adalah yang bernilai kurang dari RM3000.

Awas jika mahu trade in emas kerana kita mungkin terjebak dalam urusniaga berunsur riba. Emas yang sama berat patutnya boleh ditukar tanpa perlu ada tambahan harga. Sama kaedahnya seperti menukar wang kertas bernilai 10 ringgit kepada duit ringgit seringgit. Sepatutnya tukaran wang seringgit juga berjumlah sepuluh ringgit.

Untuk mengelakkan situasi ini, jual dahulu emas lama, selesaikan urusniaga mengikut harga yang dipersetujui. Kemudian barulah beli emas baru. Tak boleh nak tukar emas lama, tambah duit untuk ambil emas baru. Walau secara kasarnya nampak sama, ia tetap tak serupa :). -- *Ini nasihat dari UZAR.*

Jadi, anak-anak mami yang punya gelang sekerat lengan, rantai labuh hingga ke lutut, fikir dulu sebelum jual emas-emas kepunyaan anda. Walau yang diwar-warkan jual beli emas itu menguntungkan, kena ingat yang kedai-kedai emas ni membeli 25% lebih murah dari harga semasa kerana mengambil kira harga upah dalam harga dalam harga beli dahulu. Kena tunggu sekurangnya harga emas naik sehingga 26% sebelum jual –dapatlah untung 1%. (lebih baik tanam sayur dan jual, lebih menguntungkan).

Setelah mengambil kira kerugian 25% sekiranya menjual emas perhiasan ini, saya kira dan hitung, tak payah lah beli emas. Baik ambil cangkul, buat batas tepi rumah dan tanam sayur. Benih sawi ada lagi dalam kereta tu. Harap-harap tumbuh lah. Boleh la menabung untuk belanja kahwin. Untuk hantaran, tak mau lah mintak benih sawi, tetap juga nak mintak emas sebesar ular lidi, tak dapat sebesar ular lidi, dapat yang sebesar ular sawa pun jadilah....

*Update: Serial berat emas bersamaan 2.7g.

Tuesday, September 28, 2010

Lawatan ke Taman Tasik dan Zoo & Night Safari Taiping

Hari minggu hari untuk bersuka ria. Lebih suka apabila ke tempat yang disukai. Tempat yang paling disukai adalah tempat penggambaran filem Sepi. Filem Sepi buat penggambaran di Taman Tasik, Taping. Jadi, disitulah saya memijakkan kaki pada hujung minggu yang lalu. Walaupun tempat yang paling disukai adalah Taman Tasik, tapi tempat yang dilawati adalah Zoo Taping. Taman Tasik tu cuma lalu je sebab dah hujan.

Ramai betul orang yang datang ke zoo. Geng bas sekolah ada, ibu bapa dan anak-anak pun ada, remaja aktif pun ada, pendek kata macam-macam orang lah yang ada. Yang paling teruja kat zoo ni adalah mak bapak yang bawak anak-anak kecil (bukan anak yang teruja, mak bapak yang lebih-lebih), sesi mengenal binatang agaknya. Ada juga pasangan yang datang tanpa anak kecil. Mungkin tengah berbulan madu, melawat zoo. Hehe.

Jadi, mari kita tengok hasil lawatan ke Zoo Taping (ini lawatan kali kedua seumur hidup ke perumahan binatang).

Logo zoo Taiping, ada night safari sekali.

Antara binatang yang ada di zoo. Binatang bernama pelik-pelik pun ada. Paling terkejut sebab ada jugak binatang nama Kongkang. Kongkang adalah perkataan kesukaan bila tak suka sesuatu, jadi bahasakan dia sebagai Kongkang. Lepas ni tak boleh sebut kongkang dah la, sebab dah tau kongkang adalah nama binatang.

Bangau pink! Tengok, kebanyakannya berdiri dengan satu kaki, dan satu kaki lagi dibengkokkan dan disorok di celah kepak.

Ada juga binatang-binatang terpilih yang menginap di zoo ni. Mereka punya sponsor. (binatang pun dapat biasiswa untuk hidup).

Badak ditaja oleh Petronas.

Harimau ni lah yang ditaja Maybank. Seronok betul dia bersiram.

Ada 4 ekor seladang.
Tapi, cuma seekor yang dapat biasiswa. Mesti cemerlang giler seladang ni sebab terpilih untuk ditaja.

Seekor anak seladang megikuti program pertukaran ke Zoo Melaka. Jangan ingat manusia je ada program pertukaran, diorang pun ada jugak.

Ada papan tanda kambing gurun je, tapi kambingnya ada di gurun. Hehe.

Burung hantu carik kafan. Seram betul tengok burung ni. Mata besar, berjaga siang.
 
Burung kakak tua - duta Faber Castel.

Binatang Syubhat - rusa babi. Boleh makan ke tak?

Ini bukan harimau, tapi kucing batu.

Inilah rupa tenuk. Comel jugak tenuk nih.

Kandang untuk disewa. Siapa-siapa yang berminat bolehlah menguhubungi pihak Zoo untuk interview ringkas.

Seluruh kawasan Zoo selesai dijelajahi dalam masa 2 jam. Penat juga nak pusing habis satu kawasan ni. Kalau tak larat nak jalan 2 jam, boleh naik keretapi yang disediakan. Tak perlu bayar kerana semua dah termasuk dalam tiket bayaran masuk. Tiket orang dewasa RM12 dan tiket kanak-kanak 3 tahun ke atas RM8. Saya cuma bayar RM8 untuk masuk hari tu. Bukan kerana saya kanak-kanak tapi kerana saya mengikut rombongan orang Taping, jadi dapat diskaun 30%. Sekiranya anda juga mahu menikmati diskaun ini, silalah berhubung dengan orang Taiping yang ada kad pengenalan beralamat di Taiping. (nak dapat diskaun kena tunjuk IC dulu).
Selepas penat meronda zoo, balik ke rumah (mereka) melalui Taman Tasik. Tak boleh nak singgah ambil angin sebab hujan dah mula turun rintik-rintik dan mula lebat. Jadi, ambil gambar jalan je lah.

Kerusi inilah tempat Eja (dalam Sepi) duduk menunggu Tony. Tapi, kat tepi tu tak ada pun playground macam dalam filem.
Eh, tak masuk pulak kerusi tu, dah terlepas. Ingat nak zoom.
Babai. Lain kali nak datang lagi.


Saturday, September 4, 2010

Menentukan Malam LailatulQadar mengikut petua Imam Ghazali

25 Ramadhan. sudah separuh dari 10 terakhir berlalu, baru nak letak tips mengenal Malam Lailatul Qadar. Entah-entah dah terlepas :p. Dah terlepas pun takpelah, sekadar berkongsi info. Terdapat 40 pendapat alim ulama mengenai tarikh-tarikh Lailatul Qadar. Yang paling ditekankan adalah pada 10 malam terakhir, malam yang ganjil.

Imam Ghazali menyatakan, Malam LaitulQadar boleh dikenalpasti mengikut permulaan tarikh berpuasa:
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Jumaat, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Sabtu, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-23.
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Ahad, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-29.
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Isnin, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-21.
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Selasa, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Rabu, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-29.
Sekiranya tarikh puasa jatuh pada hari Khamis, Lailatulqadar berlaku pada malam ke-25.

Puasa kita tahun ini jatuh pada hari Rabu :), kalau mengikut petua Imam Ghazali, Lailatulqadar bakal berlaku pada malam ke-29. Jadi, masih ada peluang ya.

Walau apa pun, jangan lah kita menghadkan amalan pada malam tersebut sahaja. Ini sekadar panduan bagi kita supaya tidak ketinggalan pada malam-malam yang disebutkan.

Sejauh mana kita boleh mempercayai ramalan ini?
Imam Ghazali seorang ulama terkenal yang banyak ilmu pengetahuan dan dekat pada-Nya. Petua ini dikeluarkan berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman beliau. Namun harus diingat, ulama lain yang juga mempunyai ilmu yang tidak kurang hebatnya berbanding Imam Ghazali punya pendapat berbeza.

Jadi, pandai-pandailah nak ikut yang mana (kesimpulan tak boleh diharap ..hehehehe)

P/S: Siapa2 yang jumpa Lailatul Qadar tahun ni, doakan saya sekali ye. Terima kasih daun keladi :D

Saturday, August 28, 2010

Doa Tahajud

Ya Allah,
Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya,
Bagi Engkaulah segala pujian,
Engkaulah yang memiliki semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya,
Bagi Engkaulah segala pujian,
Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya,
Bagi Engkaulah segala pujian,
Engkaulah yang benar dan janjiMu adalah benar,
pertemuan dengan Mu adalah benar,
kata-kata Mu adalah benar,
syurga dan neraka adalah benar,
semua NabiMu adalah benar,
Muhammad SAW adalah benar,
dan hari kiamat adalah benar.

Ya Allah,
Kepada Mu lah aku serahkan diri,
kepadaMu aku beriman,
kepadaMu aku bertawakal dan kepadaMu aku kembali,
dengan pertolongan Mu aku menghadapi musuhku,
kepadaMu aku berhakim.

Oleh itu, ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu, yang terkemudian, dosa yang tersembunyi, yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahuinya.

Engkaulah Yang Dahulu dan Yang Akhir, tiada Tuhan kecuali Enngkau dan tiada upaya kecuali dengan pertolongan-Mu.

Sunday, June 13, 2010

Skirt kembang

Apa aktiviti yang boleh dilakukan di hari minggu di waktu cuti sekolah? Kalau ada yang menjemput ke kenduri, ok gak. Boleh makan nasi kenduri. Nasi kenduri ni, yang paling sedap adalah yang dimasak secara gotong-royong, atau dipanggil "bekwoh" dalam bahasa Jerman Malaysia (kelate la tuu..).

Memandangkan tak ada jemputan minggu ni, terpaksa cari aktiviti lain yang boleh mendatangkan kepuasan dan kegembiraan untuk diri sendiri. Cara untuk menggembirakan diri sendiri adalah dengan menggembirakan orang lain.

Insan terpilih untuk digembirakan adalah adinda tercinta. Si kecik yang dah makin membesar. Ermm...dah besar dah adik kecik, dah macam anak dara dah :)

Dah pandai "berjangok". Nak pakai baju yang cantik-cantik. Kain yang kembang-kembang.
Dengan baik hati (dan senang hati), kak long jahitkan skirt baru dari lebihan kain yang ada, agak kembang jugak. Harap-harap padan la.



Senang je nak jahit. Potong 2 kepingan kain, satu panjang dan satu pendek. Yang panjang boleh dibuat ropol-ropol. Kemudian cantumkan, pasang getah--dah pun siap. Tak sampai sejam dah setel.

Aktiviti jahitan yang pertama setelah berhenti menjahit sekian lama. Mesin pun dah berhabuk. Fuh fuh...habuk-habuk degil.

Lepas ni, nak merajinkan diri menggerakkan mesin dengan tempahan baju kurung pulak.
Amaran: tempahan tertutup kepada yang bersedia dengan syarat-syarat yang dikenakan. :o

Syarat 1: Tak boleh komplen kain senget.
Syarat 2: Tak boleh komplen baju besar.
Syarat 3: Tak boleh komplen lengan baju panjang sebelah.
Syarat 4: TAT untuk setiap pasang baju 3-4 minggu . Hehehe


Kesimpulan:
Tiada tempahan diterima buat masa sekarang.

Sunday, February 21, 2010

'trade-in' emas termasuk dalam riba?

Hujung minggu ini saya berkesempatan menonton rancangan TV9. Biasanya, TV9 kat rumah ni bersemut, langsung tak nampak, tapi kali ini, kurang sikit semutnya dan siap boleh tengok kaler lagi. Jadi, bila dah bangun pagi, hari minggu ni jarang la nak baring-baring balik lepas Subuh. Kalau hari kerja, haruslah berselimut balik lepas semayang Subuh. Saja nak berlama-lama atas katil dan berlambat-lambat ke tempat kerja. Biasanya di pagi minggu, saya suka tengok Motivasi Pagi, TV3. Tapi sekarang TV3 dah awalkan siri Motivasi Pagi ke pukul...ntah, 6.30 pagi kot. Bila bukak TV3 pukul 7.30 tu dah ada citer kartun. Tukar channel lain la. 7.30 pagi, TV9 tengah siarkan "Tanyalah Ustaz" mengupas tajuk Jual Beli dan Riba. Tengok lah kejap. Sempat jugak lah saya mencatatkan isi kupasan Ustaz tersebut (lupa nama ustaz). Rasulullah S.A.W pernah menyatakan dalam sabda baginda yang saya faham bermaksud begini: "Enam perkara yang perlukan urusan serah dan terima berlaku serentak (dalam satu masa) dan dalam timbangan yang sama berat adalah yang melibatkan penukaran (spt sistem barter): 1. Emas dengan emas 2. Perak dengan perak 3. Tamar dengan tamar 4. Barli dengan barli 5. Garam dengan garam 6. Gandum dengan gandum" Selain dari 6 perkara yang dinyatakan di atas, pertukaran untuk barang yang tidak sama (contoh: emas dengan perak, emas dengan wang), urusan serah dan terima perlu berlaku dalam satu masa. Ustaz turut menyatakan bahawa fatwa antarabangsa menyetujui bahawa dalam kehidupan hari ini, duit ringgit (matawang) boleh diibaratkan seperti emas. Wallahua'lam. Berdasarkan sabda di atas, 4 mazhab utama telah sepakat dalam hukum pembelian emas secara bertangguh. Keempat-keempat mazhab menyatakan bahawa emas tidak boleh dibeli secara bertangguh/ansuran. Urusan jual beli emas adalah secara tunai sahaja (cash and carry). Emas perlu diserahkan kepada pembeli setelah bayaran penuh diterima. Apakah hukum 'trade-in' emas lama kepada emas rekaan baru? Menjawab persoalan 'trade-in' emas lama dan tukar kepada emas baru, jatuh hukum riba dalam kes ini. ini kerana sesetengah emas lama yang di 'trade-in' adalah sama berat dengan emas baru yang diingini oleh pembeli tetapi pembeli tetap perlu tambahkan bayaran untuk emas rekaan baru tersebut. Jadi, wang tambahan di sini termasuk dalam wang riba. Cara untuk mengelakkan terjadinya riba di sini adalah dengan melakukan dua urusniaga. Pertama, jual dahulu emas lama. Selesaikan dahulu urusan jual beli nya. Kemudian barulah melakukan jual beli untuk emas baru. Perkara ini turut disentuh dalam UZAR dalam laman blog beliau. Beliau memberikan ulasan lebih terperinci berserta rujukan di sini. (0ooh..saya baru tahu..) Pengambilan untung dari turun naik harga emas/mata wang? Kalau beli emas untuk simpanan jangka panjang, hukumnya harus. Tapi kalo beli emas dan selalu jual-beli disebabkan spekulasi utk dptkan untung, takut2 jatuh hukum judi. (Seseorang pernah bagi pendapat beliau mengenai jual beli saham. Beliau pernah 'gila' main saham masa muda-muda dulu. Bila ada khabar mengatakan harga saham akan naik, cepat-cepat jual saham. Bila ada saham baru keluar dan dikatakan akan 'boom', beliau pasti beli. Tapi sekarang, beliau merasakan ia seperti judi, jual-beli saham kerana ada ramalan mengenai turun-naik saham tersebut. - ia cuma pendapat peribadi beliau yang kebetulan sama dengan perkara yang dibincangkan ustaz. Saya rasa isu ini perlu kupasan lanjut mengenai had yang dibolehkan untuk dapatkan untung dari jual-beli emas. Maklumlah, sekarang ni topik "Kaya melalui jual-beli emas" tengah 'hot' .) Ini sahaja yang mampu saya catatkan mengikut pemahaman saya daripada apa yang diterangkan sepanjang siaran tersebut. Mungkin orang lain punya 'argument' tersendiri terutama mengenai persoalan terakhir mengenai jual beli saham/emas. Wallahu'alam. - Sumber: Tanyalah Ustaz, TV9, 20 &21 Februari, 7.00 pagi