Monday, September 17, 2012

Kambing yang tunduk pada kalimah Allah

Sudah 2 bulan tidak menulis :). Bila dah lama tak jari-jemari tak menari di papan kekunci, harus ada sebab yang sangat kuat untuk menggerakkan jari-jari ini kembali. 

Malam ni, saya jumpa sebabnya. 

Dengan kalimah Bismillah, Allahuakbar, binatang sembelihan sangat mudah untuk dijinakkan. Boleh guna kaedah ni untuk raya korban nanti. Sebelum ni, kecoh satu kampung nak tumbangkan seekor lembu. Siap dengan tali segala. 4-5 orang yang kuat-kuat dan gagah-gagah diperlukan untuk menumbangkan seekor lembu. Masa pertarungan untuk merebahkan lembu ni lah masa yang paling seronok. Tengok sape lagi kuat. Lembu ke tuan lembu. Hehe.

Tapi, cuba tengok ini. Kambing-kambing yang nak disembelih pasrah dan menyerah apabila dibacakan kalimah Allah.


Ada beberapa siri yang telah dimuat naik ke Youtube. Boleh cari dengan keyword "Mercy Halal Islamic Slaughter".

Kambing pun tenang bila berzikir, orang yang berakal lebih-lebih lagi la gamaknya. Kalau tak mesti malu dengan kambing :p


Saturday, July 21, 2012

Cerita Rindu di Bulan Ramadhan



Di sinilah makam Rasul agung yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Berada di masjid Nabawi benar-benar menenangkan hati. Juga menginsafkan. Mungkin, jejak-jejak yang disusuri adalah jejak-jejak yang sama yang pernah dilalui Rasulullah. Dalam cuaca berbeza, dalam keadaan berbeza, dan aromanya juga tidak sama. 

Semasa di sini, sempat saya berbual dengan seorang penduduk Mekah. Saadiah namanya (ke Saadah eh?). Katanya, kalau boleh, beliau mahu berpindah dari Mekah ke Madinah kerana amat sukakan ketenangan di sini. Dan...kerana di sini juga terletaknya jasad nabi (ni beliau bercerita dengan suara separuh sebak). Ah...tak ada orang yang dicintai terlalu ramai orang melainkan Rasulullah SAW. 

Kalau rindu maksudnya mestilah sayang dan cinta kan? 
Kalau sayang, mestilah ikut semua sunnahnya kan?

Layan rindu sikit:





Tuesday, July 17, 2012

Anak Nakal: Anugerah atau Musibah?

Anak nakal sering merisaukan ibu bapa. Anak kecil yang nakal mungkin nampak comel tapi anak yang nakal setelah usia makin menginjak dewasa betul-betul mencabar kesabaran. 

Ibu bapa pasti tertanya-tanya, apa yang tidak kena? Sekiranya adik dan kakak semuanya baik-baik belaka, itu tambah memeningkan kepala. Dilahirkan dari rahim yang sama, dibesarkan di rumah yang sama, diberi makan makanan yang sama dan layanan juga mungkin sama.

Di kala ada yang berfikir anak nakal suatu musibah, kata Ustaz Ebit, anak nakal suatu anugerah. Bukankah di dalam Al-Quran Allah ada berfirman:

"Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allahlah pahala yang besar." 
[At-Taghabun:15].

Tambah Ustaz Ebit, anak yang nakal mungkin kurniaan Allah yang menjadi "triggering point" untuk ibu dan ayah mendekatkan diri pada Allah. Bilamana tiada lagi usaha yang mampu dilakukan untuk perbetulkan anak yang berperangai macam-macam, kepada Allahlah tempat berserah. PadaNya diadukan segala kesusahan dan diletakkan segala harapan. PadaNya jua tempat berserah. Allah kan Maha Berkuasa. Memegang hati-hati manusia dan Dia berupaya memberi hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya.

Saya teringat kisah-kisah contoh masa kini. Artis-artis yang sudah menunjukkan perubahan. Seperti Wardina dan Catriona Ross misalannya. Mereka datang dari latar yang sama. Maksud saya dari keluarga yang faham agama, dan mereka sendiri juga faham akan agama. Namun, siapa sangka, walau dibesarkan dalam keluarga ustaz ustazah, mereka justeru memilih untuk menjauhi agama? Salah ibu ayahkah? Pengajaran terpenting yang dapat saya kutip dari mereka, walau ibu dan ayah membantah dan terluka serta kecewa dengan sang anak, namun ibu jangan sekali-kali berputus asa. Teruskan berdoa agar anak kesayangan menemui jalan pulang. Pulang kepada fitrah. Pulang kepada Allah.

Alhamdulillah, dengan doa yang tidak putus dari ibu yang tetap menyayangi anak yang pernah dikandung, mereka akhirnya diberi hidayah. Mereka kini jadi agen perubahan pula. 



Thursday, July 5, 2012

Balasan di Mekah

Pertama kali mendapat panggilan Kaabah. Dalam hati terasa gundah. Terkenang dosa menimbun, banyak tingkah yang salah. Hati berbaur antara takut antara teruja. Akan adakah balasan Allah di Mekah atas dosa-dosa itu? Tambah-tambah, berbagai kisah balasan penderhakaan manusia terhijab di sana. Balasan yang mengaibkan. Ada yang sampai tak boleh bercakap, tak boleh beribadah, dan lebih sedih tak mampu melihat Kaabah. Akan samakah balasan yang diterima lantaran dosa yang belum terampun? Inilah dilema setiap orang yang pertama kali akan ke Tanah Suci Mekah, samada untuk umrah ataupun haji. Berdebar kan?

Syukur sekali kerana ramai Ustaz dan pendakwah bebas sekarang lebih banyak menenangkan masyarakat akan balasan Tuhan di Mekah. Mekah bukan tempat Allah menghukum, tetapi tempat Dia menunjukkan rahmat kasih sayangnya. Kasih sayang Allah melebihi kemurkaanNya. 

Lihat saja contoh paling mudah. Contoh tokoh terkenal seperti Prof Kamil misalnya. Berubah dari manusia biasa-biasa dalam ukuran 'warak' hingga jadi begitu istimewa. Bergerak dalam medan dakwah dengan cara tersendiri. Alhamdulillah ramai yang teruja mengikuti setiap perkembangan, lalu dakwah yang disampaikan meresap ke hati. Berkat yakin dengan Allah Yang Maha Memberi Rahmat. 

Kembara ke Mekah mampu mengubah sempadan iman seorang profesor. Seperti yang dinukil dalam karya beliau, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Karya bestseller yang menjadi satu kemestian untuk dibaca para jemaah yang akan berkunjung ke Tanah Suci. Yang bukan profesor pun mau jadi gini kan?

Antara kelebihan berada di Mekah, Masjidil Haram khususnya, solat jenazah dilakukan setiap kali selepas solat fardhu. Begitu juga di Masjid Nabawi. Setiap waktu memang ada jenazah menunggu untuk disolatkan dan dikuburkan. Bermakna setiap detik, setiap hari akan ada manusia yang akan kembali ke pangkuan Tuhan. Satu peringatan yang menginsafkan. Sesungguhnya mati itu dekat sekali. Solat terakhir di dunia hanya takbir dan qiam tanpa sujud dan rukuk, diiring pula dalam keranda kayu. Pakaian cuma sehelai kain putih kosong tanpa hiasan yang mungkin tidak senilai dengan pakaian harian biasa. 

Dengan solat jenazah, mengingatkan makmum dan imamnya akan hari kematian sendiri. Ala...seperti hijrah Abby Abadi. Terkesan kerana melihat jenazah diusung setiap hari menuju tempat imam. 

Jadi, tak perlu takut untuk ke Mekah. Kenapa takut untuk berubah kan? 

**********

Saya adalah pengedar Shaklee yang sah di Pulau Pinang.
Hubungi emel: tuankalsum[at]gmail.com
SMS/whatsapp: 019-9598249
Pastikan anda membeli Shaklee dari pengedar yang sah sahaja untuk mendapat konsultansi terbaik, harga terbaik dan produk tulen!

- Oh ye, ada promo istimewa sempena menjelang Ramadhan yang lagu sepurnama :).
Nak tau? Kena lah SMS/emel...hehe


Wednesday, July 4, 2012

Tips untuk kaya #1: Redha dengan Anugerah Allah

REDHA AKAN ANUGERAH ALLAH, MENJADIKAN ANDA ORANG TERKAYA DI DUNIA

 "....sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepada kamu dan hendaklah kamu termasuk dalam orang-orang yang bersyukur.." 
(Al-A'raf: 144) 


 JANGAN BERSEDIH, SETIAP SESUATU TELAH ADA QADHA DAN QADARNYA

 "tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Loh Mahfudz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah" (Al-Hadid: 22) 

 "Sesungguhnya Kami menciptakan sesuatu menurut ukuran" 
(Al-Qamar: 49)

 "Dan, sungguh Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar" 
(Al-Baqarah: 155) 

Dalam Hadis disebutkan: 
Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin! Semua urusannya mengandungi kebajikan baginya dan ini tidak berlaku bagi seorang pun kecuali orang mukmin. Jika mendapat kegembiraan ia bersyukur maka ini baik baginya, dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka ini pun baik baginya. 

Sabda Rasullah SAW: 
Bila kamu hendak meminta, mintalah kepada Allah. Bila kamu hendak meminta tolong, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berkumpul untuk mendatangkan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali jika Allah telah menetapkan untukmu; dan sekiranya mereka berkumpul untuk dapat mendatangkan mudarat bagimu, nescaya mereka tidak melakukannya, kecuali jika Allah telah menetapkan untukmu pena telah diangkat dan lembaran telah mengering.

Dalam Hadis sahih disebutkan: 
Ketahuilah bahawa semua nikmat atau musibah yang telah ditetapkan Allah bakal mengenaimu, pasti tidak akan meleset darimu; dan semua nikmat atau musibah yang telah ditetapkan Allah bakal meleset darimu, pasti tidak akan mengenaimu. 

Hadis sahih: Allah tidak menetapkan qadha bagi seorang hamba melainkan qadha itu baik bagi dirinya... 

Firman Allah: "...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"
(Al-Baqarah: 216)

Allah Maha Kaya. Allah mengabulkan permohonan seorang MUSYRIK, apalagi DOA seorang muslim BERTAUHID. 

Monday, July 2, 2012

Taktik supaya suami bagi hadiah

Isteri-isteri jelitawan yang bersusah payah menguruskan rumah tangga dengan ikhlas dan sabar, tahniah kerana anda berjaya mengikhlaskan diri dan bersabar. Bukan senang nak sabar apatah lagi nak ikhlas. 

Sesekali ikhlas dan sabar itu dibalas dengan hadiah, mesti  best kan? Apa lagi dari suami sendiri. Yang dicintai semestinya. Haaa...ni ada tips yang dikongsi.

Sebenarnya, ni tips kalau barang hilang. Tapi bolehlah diguna pakai kalau nak barang yang hilang tu diganti suami. Diganti dengan nama hadiah.

Apabila kehilangan sesuatu dari kita, tak kira barang berharga, orang tersayang atau apa saja. Ucaplah Innalillahiwainna ilaihi ro ji'un....dan juga:

Allahumma ajurni fi musibati wa akhlifli khairan minha
Maksudnya: Ya Allah ganjarkan atas musibah ini dan gantikanlah dengan yang lebih baik.

Sepertimana Ummu Salamah yang kehilangan suami yang dicintai, lalu diganti untuknya suami yang lebih baik. Beliau dipinang oleh Rasulullah SAW. Suami terbaik sepanjang zaman.

Bertuah kan jadi orang Islam, datang perkara buruk/musibah, jika bersabar ada ganjarannya. Jika diberi nikmat dan rezeki lalu kita bersyukur juga ada ganjarannya. Sememangnya Allah Maha Pemurah. Asyik nak bagi ganjaran je pada hamba-hambanya. Tak kira dalam apa jua keadaan. Asalkan tidak berputus asa dari rahmat Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.


*Lepas ni boleh la kalau hilang barang, ucaplah doa di atas (depan suami). -- Gurauan Ustaz Ebit Liew. Selamat mendengar ke akhirnya.














Saturday, June 16, 2012

Cinta di Jabal Uhud

Madinah dikelilingi banyak bukit. Semuanya bukit batu. Di bukit-bukit ini terpahat sejarah besar dalam perkembangan Islam. Salah satunya sejarah Bukit Uhud, yang menjadi tapak Perang kedua dalam syiar Islam setelah Perang Badar. 

Uhud menyaksikan kesucian dan kemurnian cinta para syuhada. Bertempur tanpa gentar. Meletakkan cinta tertinggi pada yang hak. 

Disinilah gugurnya penghulu para syuhada, bapa saudara yang disayangi Rasulullah, Hamzah bin Abdul Mutalib. Hamzah dipanah oleh hamba Hendun bernama Wahsyi. Perutnya dibelah, jantungnya dikeluarkan dan diperlakukan secara keji oleh pendendamnya, Hendun. Hendun tekad melakukan apa saja untuk mendapatkan hati Hamzah setelah kehilangan anak dan suami di tangan panglima ini dalam perang Badar.

Handzallah yang dimuliakan juga syahid dalam Perang Uhud. Meninggalkan isteri yang baru dikahwini, pada malam pertama untuk menyahut seruan jihad bersama Rasulullah. Jasadnya dimandikan para malaikat dan diiringi para bidadari. 

Julaibib sahabat Rasulullah yang dimuliakan kerana takwa juga gugur di medan Uhud. Julaibib, seorang sahabat yang tak ada rupa (buruk pada pandangan mata). Namun hatinya cantik sekali. Pernah satu ketika, Rasulullah meminangkan untuknya, seorang gadis solehah yang amat cantik. Ibu dan ayah gadis tersebut berdolak dalih untuk menerima Julaibib sebagai menantu. Namun, gadis solehah itu mengatakan "Sanggupkah ayah dan ibu menolah pilihan Rasulullah?". Lantas, jodoh Julaibib yang berhati cantik adalah dengan gadis solehah yang cantik.

Demikianlah kisah-kisah cinta di Bukit Uhud.


Perkuburan Syuhada Uhud. Kubur tanpa nisan.


Wednesday, June 13, 2012

Seteguh Cinta Uhud


Bukit Uhud yang amat mencintai dan dicintai Rasulullah SAW....

Kata Rasulullah: 
Kami cintakan Uhud dan Uhud mencintai kami...

Beruntung jadi bukit. Beruntung jadi apa saja apabila mencintai dan dicintai yang tercinta.

Sunday, April 15, 2012

Kisah dari Al-Quran: Doa Nabi Zakaria dan Imran untuk mendapat anak soleh

Kisah Imran, Maryam, Nabi Zakaria, Yahya, dan Isa ini diceritakan dalam surah Al-Imran, ayat 33-55.

Maryam dilahirkan dalam keluarga Imran. Sebelum kelahirannya, ibunya telah berdoa (seperti mana yang dicatatkan dalam ayat 35):

(Ingatlah) ketika Isteri Imran berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepadamu, apa yang ada dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi (kepada-Mu), maka terimalah (nazar itu) dariku. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Ketika bernazar seperti itu, Imran dan isterinya menyangka mereka akan mendapat anak lelaki. Namun, yang lahir adalah anak perempuan yang diberi nama Maryam.

Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Wahai Tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan." Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan. Dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberi namanya Maryam, dan aku mohon perlindungan-Mu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitan yang terkutuk." - Al-Imran, ayat 36.


Seperti mana yang telah dinazarkan (agar beribadat kepada Allah), Maryam kemudian diletakkan di bawah jagaan Zakaria (Nabi Zakaria). Beliau mempunyai bilik ibadah khusus di Baitul Maqdis. Setiap kali Nabi Zakaria melawatnya, pasti ada hidangan di sisinya. Pastinya bukan hidangan biasa. Nabi Zakaria bertanya, "Wahai Maryam, dari mana datangnya hidangan ini?" Jawab Maryam, "Itu dari Allah." Allah Maha Pemberi kepada siapa yang dia kehendaki.

Nabi Zakaria kemudian menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Pemberi,

"Wahai Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa". - Al-Imran, ayat 38.


Tidak lama kemudian, datanglah Jibril membawa berita kehamilan isterinya (mengandungkan nabi Yahya yang menjadi sekutu Nabi Isa kemudiannya). Ketika itu Nabi Zakaria sudah berusia 93 tahun. Isterinya pula mandul. 2 faktor ini menyebabkan Nabi Zakaria sukar mempercayai khabar dari Jibril. Lalu baginda meminta bukti dari Tuhan jika benar isterinya yang mandul itu sedang hamil.

Allah berfirman, "Tanda bagimu adalah engkau tidak berbicara dengan manusia selama 3 hari, kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama Tuhanmu banyak-banyak, dan bertasbihlah (memujiNya)  pada waktu petang dan pagi." - Al-Imran, Ayat 41.


Dalam ayat seterusnya, diceritakan kelahiran Isa Al-Masih dari ibunya Maryam yang suci tanpa seorang bapa. Kisah kelahiran paling unik di dunia.

Nabi Isa terpilih dari keturunan yang mulia, dari datuknya Imran yang soleh, kemudian ibunya Maryam perempuan yang taat beribadat. Nabi Isa dikurniakan beberapa mukjizat.

Antara yang disebutkan dalam surah ini (ayat 49):
1. Berbicara ketika masih dalam buaian. (Mempertahankan ibunya Maryam dari terus difitnah Bani Israel kerana melahirkan bayi tanpa bapa).
2. Menghidupkan burung dari tanah.
3. Menyembuhkan orang buta sejak lahir.
4. Menyembuhkan penyakit kusta.
5. Menghidupkan orang mati.
6. Mengetahui apa yang dimakan dan makanan yang disimpan oleh seseorang.
7. Memahami kitab Taurat (diturunkan kepada Nabi Musa).
8. Diturunkan kitab Injil kepadanya.
9. Roh dan jasad baginda diangkat ke langit dan akan diturunkan kembali pada akhir zaman.

Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa bagi Allah, seperti (penciptaan) Adam. Dia menciptakannya dari tanah, kemudian Dia berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu. -Al-Imran, ayat 59.

Pengajaran:
1. Ibu bapa perlu berdoa agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.
2. Ibu bapa perlu mendoakan supaya anak-anak ter[elihara dari gangguan syaitan.
3. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan kuasa Allah melewati batas logik pemikiran manusia.
4. Doa mengubah nasib, walaupun mandul, isteri Nabi Zakaria tetap mampu hamil dengan izin Allah.
5. Nazar wajib ditunaikan.
6. Perempuan perlu memelihara kesucian diri.

Saturday, April 14, 2012

Tips mendidik anak yang nakal dengan Alhamdulillah

Kawan saya berkongsi tips untuk mengubah perangai anak yang nakal kepada lebih baik. Ianya dari pengalaman ibu saudaranya yang mempunyai anak yang ramai, dan kesemua anaknya merupakan anak-anak yang soleh - baik pekertinya, dan baik pencapaiannya. Orang kata, semua anaknya menjadi. Anak-anaknya ketika kecil dulu nakal juga (anak kecil mana yang tak lasak kalau dah sihatkan?).

Kata makcik, tiap kali anaknya buat sesuatu yang menyirapkan darah, dia akan ucap "Alhamdulillah". Tak ada marah-marah, tengking dan herdik mengata yang bukan-bukan pada anaknya. Setiap kata ibu itu kan doa? Sebagai ibu, kawan saya agak skeptikal dengan pendekatan seperti ini. "Eiii, takkan la anak dah nakal pun tak tegur, tak pukul? Takkan nak biar je anak terus buat salah?". Itu yang terdetik di hatinya. Namun, kebelakangan ini, dia mencuba taktik yang sama. Tiap kali anaknya buat suatu kesalahan, dia menahan diri dari marah, sambil mengucapkan Alhamdulillah. Alhamdulillah, dengan izin Allah, perubahan ketara pada sikap anaknya. Sikapnya lebih baik, lebih tenang ibu yang melihatnya.

Pada tiap kali dia mengucapkan Alhamdulillah, si anak akan bertanya, "Kenapa mama ucap Alhamdulillah?". Dia hairan sendiri kerana dia tahu Alhamdulillah adalah kalimah kesyukuran. Takkan mama bersyukur bila dia buat salah? Takkan mama tidak memarahinya sebaliknya bersyukur pula? Ya, inilah masanya untuk menegur anak! Apabila anak itu tahu dia salah, patut ditegur, dia akan terima teguran dengan hati terbuka tanpa terluka dengan perkataan negatif. Jadi, peranan mama pula nak positifkan setiap perlakuan anak. "Mama syukur sebab anak mama tak buat lebih teruk dari itu. Anak mama kan anak yang baik. Dengar kata. Lagipun, kalau buat macam tu, anak mama pun tahu ianya salah. Allah tak suka, mama tak suka, papa tak suka. Tapi tadi tak sengajakan? Jadi mama maafkan :)."

Saya tahu bukan mudah mengucapkan Alhamdulillah, bila hati dah terbakar dengan perangai anak yang tak terjangka kan? Tapi, sedikit demi sedikit mempositifkan diri sendiri untuk melihat semuanya dari sudut yang positif, Insyaallah besar ganjarannya.

Tips ini selari dengan tips yang diberikan oleh Prof Muhaya. Kata beliau, penuhkan akaun emosi anak-anak. Sayangi dia, kemudian barulah boleh tegur. Jangan takut walau orang kata, nanti anak pijak kepala. Sedangkan kajian yang sebenarnya menunjukkan, anak-anak yang nakal adalah anak-anak yang miskin dari segi emosinya, kurang kasih sayang, kurang perhatian. 

Selamat mencuba! Selamat mendidik anak-anak yang soleh dan solehah.