Saturday, June 16, 2012

Cinta di Jabal Uhud

Madinah dikelilingi banyak bukit. Semuanya bukit batu. Di bukit-bukit ini terpahat sejarah besar dalam perkembangan Islam. Salah satunya sejarah Bukit Uhud, yang menjadi tapak Perang kedua dalam syiar Islam setelah Perang Badar. 

Uhud menyaksikan kesucian dan kemurnian cinta para syuhada. Bertempur tanpa gentar. Meletakkan cinta tertinggi pada yang hak. 

Disinilah gugurnya penghulu para syuhada, bapa saudara yang disayangi Rasulullah, Hamzah bin Abdul Mutalib. Hamzah dipanah oleh hamba Hendun bernama Wahsyi. Perutnya dibelah, jantungnya dikeluarkan dan diperlakukan secara keji oleh pendendamnya, Hendun. Hendun tekad melakukan apa saja untuk mendapatkan hati Hamzah setelah kehilangan anak dan suami di tangan panglima ini dalam perang Badar.

Handzallah yang dimuliakan juga syahid dalam Perang Uhud. Meninggalkan isteri yang baru dikahwini, pada malam pertama untuk menyahut seruan jihad bersama Rasulullah. Jasadnya dimandikan para malaikat dan diiringi para bidadari. 

Julaibib sahabat Rasulullah yang dimuliakan kerana takwa juga gugur di medan Uhud. Julaibib, seorang sahabat yang tak ada rupa (buruk pada pandangan mata). Namun hatinya cantik sekali. Pernah satu ketika, Rasulullah meminangkan untuknya, seorang gadis solehah yang amat cantik. Ibu dan ayah gadis tersebut berdolak dalih untuk menerima Julaibib sebagai menantu. Namun, gadis solehah itu mengatakan "Sanggupkah ayah dan ibu menolah pilihan Rasulullah?". Lantas, jodoh Julaibib yang berhati cantik adalah dengan gadis solehah yang cantik.

Demikianlah kisah-kisah cinta di Bukit Uhud.


Perkuburan Syuhada Uhud. Kubur tanpa nisan.


No comments: