Monday, June 6, 2011

Hijrah dari t-shirt dan jeans ke jubah dan purdah

Hari-hari belek facebook. Facebook umpama muka yang tak jemu dipandang. Sehari tak buka muka buku memang ada rasa resah gelisah. Apatah lagi kalau sampai berminggu-minggu. Haruslah banyak berita (aka rintihan, status, doa yang bermacam-macam) yang dimuat naik dan tak terkejar untuk dibaca.

Selepas 2 hari berpisah dari facebook, hari ini, saya menjenguk kembali muka buku ini. Tengok status kawan-kawan yang berbagai ragam. Tengok gambar yang bermacam gaya. Namun, saya paling tertarik melihat gambar teman sekuliah, yang berubah 180 darjah! Subhanallah. Dia tampil dengan imej baru. Dulu, dia seorang yang ceria, bergaya macam kebanyakan budak-budak Universiti waktu itu. Berseluar jeans dan t-shirt ke kuliah. Bertudung bawal selempang dan sandal. Sekarang, dia manis berjubah. Serba hitam. Ditambah purdah! Siapa sangka dia berubah. Subhanallah.

Hijrah dari t-shirt ke jubah malah ditambah purdah adalah hijrah yang besar. Saya sendiri tak pernah membayangkan diri sendiri di tahap itu. Seorang kawan sekolah menengah pernah bertanya hal ini. Bicara gadis belasan tahun. Soalnya, bagaimana saya melihat diri saya dalam usia dewasa (tua) dalam konteks berpakaian. Adakah bertudung labuh? Berbaju kurung 24jam sehari? Jawab saya, saya tak pernah membayangkan diri saya bertudung labuh kerana fikir saya, "aku tak sebaik itu dan tak mampu untuk jadi sebaik itu". Ye lah, bagi saya, bertudung tiga segi pun sudah cukup baik dan saya tak ada faktor yang boleh mendorong saya untuk bertudung labuh - melainkan saya ditakdirkan berkahwin dengan lelaki yang mahu isterinya bertudung labuh.

Bayangan saya waktu belasan tahun masih benar. Saya masih seperti dulu, bertudung tiga segi yang ada kalanya disengetkan kiri kanan biar selari dengan fesyen semasa. Tak ada jubah atau tudung labuh apa lagi purdah. Saya berpakaian, menutup aurat sekadarnya saja (masih banyak yang ala kadar dan kurang sebenarnya). Melihatkan hijrah sahabat yang sudah berpurdah ini, tak mustahil sebenarnya untuk berubah ke keadaan terbaik tak kira apa jua kedudukan sekarang.

Jadi, saya membayangkan, walau orang yang kita lihat hari ini ber t-shirt pendek, berbaju singkat, berskirt belah, bertudung pendek, berseluar sendat, tak mustahil untuk kita lihat orang yang sama dalam pakaian yang sopan dan sempurna mengalahkan kita esok hari.

Siapa pun kita, pilihan untuk berhijrah ke arah yang lebih baik ada ditangan kita kerana kita diberikan hak dari mula. Hak untuk jadi baik dan terbaik adalah hak kita. Tinggal lagi memupuk keberanian untuk menggunakan hak tersebut. Jika dulu, yang selalu disebut adalah iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa. Namun, kita juga perlu ingat, kejahilan juga bukan untuk diwarisi dan diwariskan untuk selamanya.

 

1 comment: